Followers

Tuesday, 7 June 2011

Mandi bunga dikomersilkan di hotel dan resort

Menyelami keunikan mandi bunga
Pada kali ketujuh siraman air, pelancong ini kena menyimpan hasratnya sendiri sebelum menyiram air pada badannya.
MANDI Bunga merupakan ritual orang Melayu tradisional suatu ketika dulu, namun ia masih diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum sehingga hari ini.
Pada masa dulu, upacara mandi bunga dipercayai berasal dari istana yang diamalkan semasa istiadat pertabalan Sultan.
Raja atau sultan dan permaisurinya biasanya diberi mandi bunga semasa melawat kampung.
Rombongan mandi bunga tiba di Spa Village untuk proses mandi bunga yang terakhir.
Menurut kepercayaan lama juga, seseorang yang mandi bunga dipercayai dapat mencari pasangan hidupnya. Mengikut adat resam Melayu, pasangan akan mandi bunga tujuh hari sebelum upacara pernikahan.
Ia juga dikaitkan dengan penyucian diri dan pembersihan badan seseorang daripada segala perkara yang tidak elok atau jika ditimpa sebarang musibah.
Selain itu, mandi bunga turut dijalankan ke atas bayi yang baru dilahirkan. Yang pastinya badan bukan sahaja harum selepas menjalani mandi bunga, malah ia dipercayai bagus untuk kesihatan dalaman selain membersihkan tubuh badan kita.
Ruang menunggu sebelum menjalani adat mandi bunga.
Bagaimanapun, mandi bunga hari ini merupakan amalan biasa di spa-spa atau pun pusat rawatan kesihatan yang menyediakan pakej mandi bunga untuk para tetamunya.
Di pusat peranginan Tanjong Jara Resort, Terengganu misalnya, para tetamu berpeluang untuk menjalani proses atau adat mandi bunga dengan cara yang unik dan tersendiri.
Pasangan kekasih atau suami isteri diarak dari lobi ke Spa Village di hotel berkenaan untuk tujuan tersebut.
Ahli alamiah (naturalist), Tanjong Jara Resort, Kapten (B) Mokhtar Mohamad yang mengetuai perarakan mandi bunga itu berkata, ia bagi mendedahkan adat unik tersebut kepada para tetamu lain.
Katanya, ia melibatkan tujuh lelaki berpakaian pendekar membawa balang air atau buyong masing-masing untuk mengutip atau mengumpulkan air dari tujuh balang yang diletakkan di tempat berasingan.
“Air dalam tujuh balang itu melambangkan tujuh sumber air berlainan iaitu, air hujan, perigi, sungai, mata air, air terjun, tasik dan anak sungai,” jelasnya kepada Mingguan mStar.
Mengulas lanjut, Mokhtar memberitahu, setiap sumber air mencerminkan rahmat atau restu tersendiri.
Seorang pelancong mencedokkan air kepada tujuh 'pendekar' untuk dibawa ke pusat spa kemudian.
Air hujan melambangkan kesucian, air perigi (keikhlasan dan kesihatan), air sungai (keikhlasan), mata air (kecantikan), air terjun (kegembiraan), air tasik (kemakmuran) dan air air anak sungai (usia yang panjang).
Sebelum perarakan bermula, pasangan mandi bunga ditatariaskan terlebih dahulu. Lelaki dipakaikan tengkolok sementara wanita pula dikenakan selendang dan disisipkan bunga raya pada telinganya.
Perarakan diketuai sebanyak lima orang pemain gamelan mengalunkan irama mengasyikkan. Biasanya, 20 hingga 30 orang terlibat. Adalah dipercayai lebih ramai pemain dapat menghasilkan bunyi yang lebih baik.
Mereka diikuti wanita membawa sirih junjung dan disusuli pasangan yang diraikan dalam perarakan mandi bunga.
Limau, halia, bunga mawar dan cengkih adalah antara inti untuk membuat minuman panas atau sejuk. Para pengunjung spa disediakan minuman sebelum mandi bunga.
Sebanyak tujuh wanita pula membawa tujuh jenis bunga yang wangi dan berwarna-warni antara lain bunga mawar, melur, cempaka dan lain-lain. Tujuh lelaki membawa tujuh balang untuk diisikan dengan air.
Kemudian, setibanya di Spa Village, tujuh lelaki yang membawa pasu air tersebut akan menuangkan air ke tiga balang berusia 173 tahun, diperolehi dari bangkai kapal Desaru.
Air dalam tiga balang tersebutlah yang akan digunakan untuk memandikan pasangan tersebut.
Menurut Mokhtar lagi, hanya tujuh cedokan air digunakan untuk memandikan mereka.
“Setiap kali air dicedok untuk membasahkan mereka dari kepala hingga ke jari kaki, pekerja akan melafazkan ‘untuk kesucian, untuk keikhlasan, untuk kesihatan, untuk keikhlasan, untuk kecantikan, untuk kegembiraan dan untuk kemakmuran.
“Bagi cedokan ketujuh, pekerja tidak akan berkata apa-apa. Sebaliknya, pasangan itu diminta memasang hajat atau impian sebelum mereka dibasahkan dengan cedokan air buat kali ketujuh,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...